Arkeologist telah memperoleh bukti penggunaan perkataan Melayu sejak abad kedua lagi. Sekitar tahun 100 - 150 Masihi, M. Polemy telah menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul Geographic Sintaxis. Menurut Gerini, istilah ini diambil daripada kata bahasa Sanskrit malayakolam atau malaikurram, yang merujuk kepada suatu tempat di utara Semenanjung Malaysia.
Perkataan Melayu juga dikesan dalam sebuah kitab Hindu purba yang berjudul Purana. Dalam kitab tersebut, terdapat perkataan Malaya dvipa. Menurut para penyelidik, perkataan tersebut merujuk kepada Pulau Sumatera, yang merupakan tempat asal bahasa Melayu.
Selain itu, penggunaan perkataan Melayu ditemukan juga dalam tulisan Cina yang bertulis antara 644 dan 645 Masihi (pada zaman Dinasti T'ang). Tulisan itu menyatakan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja Cina. Arkeologist dan pengkaji budaya percaya bahawa kerajaan Mo-lo-yeu yang dimaksudkan itu berpusat di daerah Jambi, Sumatera.
Satu lagi tulisan Cina yang menyebut istilah Melayu terdapat pada catatan seorang rahib Buddha yang bernama I-Tsing. Beliau menggunakan perkataan mo-lo-yu pada dua buah kerajaan di Sumatera yang dilawatinya pada tahun 675 Masihi. Kerajaan-kerajaan itu ialah kerajaan Melayu yang berpangkalan di Sungai Batang dan kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang. I-Tsing juga mencatakan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa pengantar untuk mengajar bahasa Sanskrit dan falsafah agama Buddha.
Catatan dalam kesusateraan China ada menyatakan bahasa yang digunakan di Nusantara. Menurut pengembara Cina yang singgah di Nusantara, bahasa yang dituturkan di Srivijaya ialah bahasa K'unlun. Bahasa K'un-lun ini bukan sahaja dituturkan oleh penduduk tempatan, malah turut dipelajari oleh orang asing untuk memudahkan mereka berkomunikasi. Arkeologist dan pengkaji kebudayaan, percaya bahasa K'un-lun itu merujuk kepada bahasa Melayu kuno.
Catatan pengembara Cina ini membuktikan bahasa Melayu kuno telah digunakan sebagai bahasa perantaraan atau lingua franca pada zaman kerajaan Srivijaya. Dalam pada itu, catatan-catatan pengembara Cina juga menyebut bahawa bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi kerajaan Srivijaya. Seterusnya, perkataan Melayu juga turut ditemukan tertulis di bahagian belakang sebuah patung yang bertarikh 1286 Masihi, yang ditemui di Padang Rocore di Sungai Batanghari, Sumatera Selatan.
No comments:
Post a Comment